GURU PEMANGKIN PENDIDIKAN LESTARI DAN INOVASI
'Guru Pemangkin Pendidikan Lestari dan Inovasi’ membawa maksud peranan guru sebagai tokoh utama yang mendorong perubahan positif dalam sistem pendidikan ke arah yang lebih berdaya tahan, inklusif, dan berteraskan nilai-nilai murni. Guru juga menggalakkan pemikiran kreatif dan inovasi dalam kalangan pelajar dengan mendorong mereka menyelesaikan masalah secara kritis dan menghasilkan buah fikiran baharu dan berimpak tinggi.
Ugama Islam mengangkat martabat guru sebagai Murabbi, iaitu pendidik jiwa dan sahsiah pelajar di samping menyampaikan ilmu pengetahuan yang harus mencontohi sifat-sifat para nabi yang terpuji dan menanamkannya ke dalam diri pelajar. Guru sebagai Murabbi mengutamakan pembentukan akhlak mulia, pembangunan potensi pelajar secara holistik merangkumi aspek jasmani, emosi, rohani, dan intelektual.
Guru juga menjadi pemain utama dalam melahirkan generasi pelajar yang bukan sahaja berilmu tinggi, malah prihatin, beretika dan bersedia menghadapi cabaran masa depan secara lestari. Pendidikan lestari merujuk kepada pendidikan berkualiti yang berpanjangan dan mampu memenuhi keperluan masa kini tanpa mengabaikan generasi akan datang.
Dari sudut pedagogi inovasi berteraskan Maslahah Ummah, seiring dengan peranan Murabbi sebagai pendidik yang mesti bersikap inovasi dalam pedagogi untuk memastikan pendidikan kekal relevan dan lestari. Setiap perspektif inovasi hendaklah berteraskan Maslahah Ummah, iaitu mendatangkan kebaikan kepada masyarakat umum (ummah) dan bukan sekadar memperkenalkan perubahan yang tidak memberi sebarang manfaat.
Secara keseluruhan, guru yang melaksanakan peranan sebagai pemangkin pendidikan lestari dan inovasi berupaya melahirkan pelajar yang bukan sahaja berilmu dan berkemahiran tinggi, tetapi juga berakhlak mulia, beretika dan memiliki kesedaran untuk menyumbang secaramampan kepada agama, bangsa dan negara.
Guru berperanan membina kesedaran sivik dan memupuk sikap prihatin terhadap masyarakat serta alam sekitar, sejajar dengan prinsip Maqasid Syariah. Guru juga menjadi teras kepada pencapaian falsafah pendidikan negara serta pembentukan generasi yang berkualiti, seimbang dari sudut duniawi dan ukhrawi, dan bersedia menerajui masa depan dengan jati diri yang kukuh. (Petikan dari Buku Program Hari Guru ke 35 Peringkat Negara 23 September 2025)




