BANDAR SERI BEGAWAN, 5 JUN – Seramai 1,708 peserta daripada kalangan ahli majlis perundingan mukim dan kampung (MPMK), pertubuhan warga emas, pelajar-pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi di seluruh negara menyertai Majlis Pemantauan Bacaan Ayat-ayat Suci Al-Quran sempena Majlis Khatam Al-Quran 79 Kali Khatam hari ini.
Majlis yang berlangsung serentak di masjid-masjid terpilih di setiap daerah ini merupakan antara pengisian keagamaan sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang ke-79 tahun.
Majlis dimulakan dengan sembahyang Fardu Asar berjemaah, diikuti bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh tetamu kehormat di setiap lokasi. Bacaan ayat-ayat suci Al-Quran dilaksanakan secara beramai-ramai dan persendirian sebelum majlis ditutup dengan Doa Selamat.
Majlis tersebut merupakan kesinambungan kepada Majlis Pelancaran Bacaan Ayat-ayat Suci Al-Quran yang telah diadakan pada 13 Mac lalu. Bagi Daerah Brunei dan Muara, majlis pemantauan berlangsung di Jame‘ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong dan dipantau oleh Setiausaha Tetap, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi selaku tetamu kehormat, Haji Mohammad Nazri bin Haji Mohammad Yusof.
Penyertaan dalam majlis ini merangkumi kategori dewasa lelaki dan wanita, belia serta beliawanis berumur 13 hingga 20 tahun yang mewakili mukim dan kampung masing-masing. Turut serta ialah para pelajar dari Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah, sekolah-sekolah Arab, Skim Tilawah Al-Quran Remaja dan Kanak-kanak, dan Skim Khatam Al-Quran bawah umur 10 tahun.
Selain itu, pelajar-pelajar dari sekolah di bawah Kementerian Hal Ehwal Ugama, Kementerian Pendidikan, serta institusi pengajian tinggi turut mengambil bahagian. Majlis itu mencerminkan semangat kerohanian dan kebersamaan rakyat dalam menyambut Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia, sambil memperkukuh jati diri Islamiah dalam kalangan generasi muda.
Oleh Yusrin Junaidi
https://mediapermata.com.bn/pantau-bacaan-al-quran-79-kali-khatam/




